Amanat Hari Malaysia 2024 dari Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)
16hb September 2024
Menyokong nilai kepelbagaian, belajar dari Sabah dan Sarawak
Seluruh rakyat Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-67 dua minggu lalu. Hari ini adalah Hari Malaysia, di mana Sabah dan Sarawak bergabung untuk membentuk Malaysia pada 61 tahun yang lalu. Walaupun kedua-dua wilayah ini mempunyai kepelbagaian kaum, agama, dan budaya yang lebih luas, hubungan antara kaum tetap harmoni, saling menghormati dan bertoleransi telah lama terjalin. Ini menjadikan mereka merupakan contoh terbaik bagi masyarakat majmuk di negara kita.
Meninjau situasi antarabangsa dan ketidakstabilan geopolitik semakin meningkat pada tahun 2024, Kerajaan Perpaduan Malaysia aktif memperbaiki keadaan pendapatan negara dan mewujudkan persekitaran yang selamat, terjamin dan berskala. Kini, pemulihan ekonomi melebihi jangkaan. Polisi rasionalisasi subsidi bahan api memberikan kesan jangka pendek yang negatif tetapi manfaat jangka panjang, manakala pakej bantuan bersasar membantu mengurangkan impak tersebut. Kerajaan sedang melaksanakan pembaharuan ekonomi untuk mengatasi perangkap pendapatan sederhana, dan rakyat menyambutnya dengan penuh optimis.
Pergolakan politik semasa sering kali menjejaskan perkembangan pendidikan. Sekolah pelbagai aliran sering dikaitkan dengan isu perkauman dan dikritik kononnya merosakkan perpaduan negara. Hakikatnya, kepelbagaian latar belakang pelajar mampu memupuk integrasi nasional dan keharmonian sosial. Sebagai contoh, ramai murid sekolah jenis kebangsaan Cina berasal dari komuniti Bumiputera. Pendidikan adalah asas utama untuk membangun Malaysia Madani. Usaha membina masyarakat progresif akan terbatas tanpa reformasi pendidikan yang berwawasan dan kukuh.
Tindakan kerajaan amat diperhatikan ketika menghadapi cabaran pentadbiran yang kompleks . Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini menampilkan elemen anti-rasuah yang menunjukkan tekad untuk memerangi rasuah, serta menggabungkan persembahan budaya pelbagai kaum. Ini menekankan pentingnya perpaduan masyarakat majmuk dalam memperkukuh identiti nasional, selari dengan tema Hari Kebangsaan “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka”.
YAB Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim sering menyuarakan prinsip pemerintahan berbilang kaum dan kesaksamaan, tetapi keberkesanannya masih perlu dibuktikan. Sejak tujuh puluh tahun lalu, Dong Zong tetap teguh mempertahankan pendidikan bahasa ibunda dan memajukan pendidikan Cina. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami juga aktif menjalankan aktiviti merentas kaum yang melibatkan penyertaan bersama pelbagai komuniti dan menggalakkan interaksi antara sekolah pelbagai aliran. Usaha ini membantu meningkatkan pemahaman tentang budaya pelbagai kaum. Kami percaya bahawa kekuatan dan kemampanan sesebuah negara bergantung pada kualiti rakyat. Hanya pendidikan berkualiti tinggi dapat memupuk bakat berkualiti tinggi.
Pendidikan berkualiti adalah asas penting untuk Malaysia MADANI dan masyarakat harmoni. Memelihara kedudukan budaya pelbagai kaum tidak bercanggah dengan konsep “Malaysia MADANI”. Pendidikan kepelbagaian budaya kaum harus mempromosikan keharmonian, dialog, dan berinteraksi, serta menyeru semua pihak untuk mempertahankan kepelbagaian budaya demi pembangunan bersama. Pada masa akan datang, kami berharap kerajaan akan mengamalkan prinsip terbuka dalam penggubalan dasar-dasar negara, demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
Semoga Malaysia terus maju, makmur dan sejahtera.