fbpx

Ucapan Tahun Baharu 2024 En Tan Tai Kim Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)

Ucapan Tahun Baharu 2024

 

En Tan Tai Kim

Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus

Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)

 

Tahun 2023 sudah sampai ke penghujungnya dan perkembangan semasanya menampakkan perang Russia-Ukraine yang berterusan, manakala konflik Israel-Palestin timbul sekali lagi. Perkembangan tersebut kurang optimistik. Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengendalikan pemerintahan selama setahun, keadaan politik negara ini meskipun semakin stabil, namun penilaian masyarakat terhadap Kerajaan Perpaduan agak bercanggah, dengan hampir separuh responden dalam kaji selidik tidak puas hati dengan prestasi kerajaan. Seterusnya, pihak berkuasa hendaklah menunjukkan pencapaian yang membawa manfaat kepada rakyat, jika tidak, akan kehilangan sokongan rakyat lagi.

 

Sepanjang tahun yang lalu, kerajaan telah menghadapi pelbagai cabaran dalaman dan luaran. Perdana Menteri amat menonjol di arena politik antarabangsa, tetapi dalam pengurusan hal ehwal negara kita pula kelihatan berselerak dan kekurangan ketegasan untuk melaksanakan perubahan yang berkesan. Hasil reformasi ekonomi tidak begitu ketara, manakala wujudnya pula jurang yang jelas di antara harapan rakyat dengan pencapaian sebenar kerajaan. Kebanyakan rakyat rasa tidak ada perubahan yang signifikan. Sebaliknya, beberapa tindakan kerajaan yang kelihatan tidak konsisten dengan nilai-nilai universal dan menjejaskan kehidupan harian, telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang tertanya-tanya sama ada kerajaan bergerak ke kanan atau bersaing secara konservatif dengan pembangkang untuk mendapatkan sokongan lebih besar daripada pengundi Islam. Ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia masih belum mencapai transformasi politik dan sosial walaupun telah melalui beberapa penukaran kerajaan di antara parti-parti politik yang berbeza, dan isu-isu etnik dan agama terus berulangan. Ini mencerminkan kesulitan negara kita pada masa ini.

 

Dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi sepanjang tahun 2023 kelihatan tidak banyak berubah, tidak ada reformasi institusi dan juga kekurangan hala tuju transformasi pendidikan yang bersifat makro sebagaimana yang dijanjikan oleh kerajaan. Pelbagai isu utama seperti projek pembinaan 16 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) iaitu 10 buah SJKC baharu dan 6 buah SJKC yang berpindah masih terbantut, agihan peruntukan kewangan kepada semua jenis sekolah masih tidak jelas, manakala pemberian dana secara institusional kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan tiga buah kolej universiti bukan untung kelolaan masyarakat Cina juga tidak jelas. Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) SMPC, pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan sistem kuota universiti awam tetap tidak ada perkembangan. Lebih kecewa lagi, campur tangan politik dan agama masih sering mempengaruhi sektor pendidikan, meliputi aspek bahasa pengantar, peruntukan dana, pembinaan dan perpindahan sekolah, dan operasi pentadbiran pendidikan. Jika kerajaan ingin meningkatkan daya saing negara dalam jangka masa panjang, langkah-langkah yang konsisten perlu diambil untuk memastikan pendidikan kembali kepada pembangunan profesional dan menyokong perkembangan guru dan pelajar secara profesional. Menteri Pendidikan sebelum ini di Dewan Rakyat berjanji untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru di seluruh negara. Semua pihak akan menilai janji tersebut berdasarkan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan dan berharap masalah itu dapat diselesaikan dengan segera.

 

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, Dong Zong masih mencapai kemajuan dalam beberapa urusan, terutamanya dalam aspek pendidikan bahasa ibunda dan kerjasama antara kumpulan etnik. Kami gembira dengan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang mengesahkan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil adalah sah di sisi undang-undang dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, tetapi kami masih perlu berhati-hati dan berusaha gigih untuk mempertahankan hak pendidikan bahasa ibunda. Selain itu, walaupun projek Kompleks Pendidikan Serbaguna Dong Zong menghadapi rintangan pada peringkat ini, Dong Zong bersama dengan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dan Merdeka Universiti Berhad (MUB) tetap komited dan terus bergerak maju ke hadapan.

 

Pada tahun lepas, Dong Zong aktif melawat pelbagai persatuan untuk menjalin hubungan rapat dan mendengar pandangan di peringkat akar umbi. Kami juga menganjurkan Forum Pendidikan Cina untuk membincangkan isu-isu berkaitan sekolah Cina. Pelbagai aktiviti silang budaya turut diadakan untuk menggalakkan interaksi antara pelajar pelbagai etnik. Selain itu, kami telah menjalankan kaji selidik berkenaan operasi Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan menggerakkan para pengelola sekolah segera memohon pendaftaran sebagai pengelola sekolah. Dalam aspek pembaharuan pendidikan di Sekolah Menengah Persendirian Cina, penyelidikan awal mengenai rangka kerja proses pembelajaran pelajar SMPC telah siap dijalankan. Dalam proses kajian pertengahan Pelan Induk Pendidikan Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia, pelbagai pendapat daripada pihak sekolah telah dikumpul dan beberapa penyesuaian telah dibuat terhadap pelan tersebut. Dong Zong dan SMPC bekerjasama untuk meneruskan pelaksanaan penilaian eksperimen dalam mata pelajaran Sains di peringkat menengah atas. Sukacitanya terdapat SMPC sudi menjadi sekolah perintis. Selain itu, kami terus menggalakkan para pelajar Cina memohon program latihan perguruan yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan, dengan harapan agar mereka dapat menjadi guru di SJKC dan sekolah menengah.

 

Sungguhpun urusan reformasi merangkumi pelbagai bidang, Kerajaan Perpaduan kini memiliki majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Dengan tamatnya pilihan raya negeri di enam buah negeri, maka tiada tekanan pilihan raya dalam empat tahun akan datang. Ini bermakna kerajaan harus menunjukkan tekad untuk melakukan pembaharuan. Hanya dengan berpegang kepada pendekatan yang moderat dan progresif, dan menunjukkan pencapaian urus tadbir yang konkret, barulah itu caranya untuk mendapat sokongan rakyat.

 

Tahun 2023 telah berlalu, marilah kita menyambut Tahun 2024. Di hadapan kita ialah satu tahun yang penuh dengan harapan dan cabaran. Dengan adanya harapan dan keyakinan, kita berjuang untuk masa depan yang lebih baik dan berusaha untuk mencapai visi baharu. Percayalah tahun baharu ini ialah satu tahun yang menyenangkan hati dan penuh nikmat.