fbpx

Menyeru KPM Memperbetulkan Buku Sejarah Yang Menyimpang Menubuh Jawatankuasa Pakar Berbilang Etnik Untuk Membuat Kajian Semula

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

21 April 2021

Menyeru KPM Memperbetulkan Buku Sejarah Yang Menyimpang

Menubuh Jawatankuasa Pakar Berbilang Etnik Untuk Membuat Kajian Semula

 

Baru-baru ini, buku teks sejarah sekolah menengah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menimbulkan kontroversi lagi. Analisis daripada beberapa orang ahli akademik menunjukkan buku teks sejarah tersebut menumpukan pada orang Melayu dan agama Islam, manakala pengenalan sejarah dan budaya kumpulan etnik lain sama ada amat kurang atau langsung tidak disebutkan sama sekali. Ini adalah tidak tepat dan  tidak menggambarkan keadaan negara kita yang bermasyarakat majmuk. Maka, Dong Jiao Zong menyeru KPM memandang serius terhadap isu tersebut dan mengambil tindakan segera untuk memperbetulkan buku teks sejarah sekolah menengah.

Sebenarnya, buku teks sejarah sekolah rendah dan menengah telah lama mengandungi pemikiran mono-lingualisme-kulturalisme serta eksklusif, persembahan fakta sejarah yang tidak seimbang dan salah ditafsirkan. Ia juga tidak mencerminkan keadaan kepelbagaian etnik, budaya dan agama di negara kita dengan menyeluruh dan tepat, selain tidak mempamerkan semangat sejarah seluruh rakyat. Akibatnya, generasi baharu tidak dapat memahami sejarah negara secara menyeluruh, malah boleh dikelirukan. Pelajar-pelajar daripada beberapa kumpulan etnik serta masyarakat Sabah dan Sarawak juga merasai mereka ditolak dan dipinggirkan.

 Kejadian seperti ini bertentangan dengan keadaan masyarakat majmuk negara kita. Kontroversi yang berpanjangan selama ini sebenarnya telah menjejaskan perpaduan dan semangat kekitaan di kalangan rakyat, serta memudaratkan kestabilan dan kemajuan negara. Ini adalah masalah serius yang harus diperbetulkan dan diselesaikan oleh kerajaan.Dasar Perpaduan Negara Dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2030 diumumkan oleh kerajaan pada bulan Februari tahun ini mencadangkan perpaduan negara dipupuk melalui pendidikan sejarah. Sehubungan dengan itu, Dong  Jiao Zong menyeru kerajaan hendaklah cakap serupa bikin dengan menubuhkan jawatankuasa yang terdiri daripada para ahli akademik, pakar dan pendidik daripada pelbagai kelompok etnik, dan mencari jalan penyelesaian terhadap masalah-masalah dalam buku teks sejarah KPM.  Ini termasuklah pindaan terhadap Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) mata pelajaran sejarah sekolah rendah dan menengah, penubuhan pasukan penulisan buku sejarah dan jawatankuasa pemandu buku sejarah yang terdiri daripada para ahli akademik, pakar dan pendidik yang berbilang kelompok etnik, termasuk mereka yang datang dari Sabah dan Sarawak.

Kami berpendapat urus tadbir kerajaan selama ini yang menonjolkan pemikiran mono-lingualisme-kulturalisme telah mengakibatkan penularan ekstremisme perkauman dan agama di lapisan masyarakat berterusan. Namun, kerajaan sering gagal menyatakan pendiriannya dengan segera dan tidak proaktif dalam menangani masalah-masalah, dan menyebabkan rakyat berasa sangat kecewa dan risau dengan masa depan negara kita.

Kami berpandangan kerajaan harus mengambil tindakan yang segera untuk mengatasi perbuatan ekstrem perkauman dan agama atau perkara-perkara yang merosakkan perpaduan negara, dan bukannya membiarkan masalah itu berterusan. Sebagai contoh, kementerian pendidikan mengambil tindakan segera untuk membatalkan syarat kaum untuk kegiatan sukan apabila sebuah sekolah menengah di Batu Pahat menetapkan syarat kepada satu kaum saja.

Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) KPM menekankan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dan kritikal di kalangan pelajar. Dong Jiao Zong berpendapat kerajaan harus merancang semula objektif dan rangka struktur pendidikan sejarah untuk membenarkan para pelajar membincang, merenung dan mengkritik sejarah dalam pembelajaran mereka, agar mereka boleh berfikir daripada pelbagai aspek untuk menjadi generasi baharu yang rasional, berfikiran terbuka dan mempunyai semangat kekitaan.