fbpx

Kesukaran Melaksanakan Rancangan Pentadbiran Tanpa Pembaharuan Besar Sila Meyakinkan Rakyat Dengan Visi Baharu — Penilaian Dong Zong Terhadap Perkembangan Pendidikan Sempena Setahun Pentadbiran Perikatan Nasional

Kenyataan Dong Zong

1 Mac 2021

Kesukaran Melaksanakan Rancangan Pentadbiran Tanpa Pembaharuan Besar

Sila Meyakinkan Rakyat Dengan Visi Baharu

— Penilaian Dong Zong Terhadap Perkembangan Pendidikan Sempena Setahun Pentadbiran Perikatan Nasional

 

1. Prakata

Kerajaan Pakatan Harapan tumbang susulan Langkah Sheraton yang telah mengubah senario politik Malaysia setahun lalu. Parti Bersatu, UMNO, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membentuk  Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti tipis di Dewan Rakyat. Lanjutan daripada itu, keadaan politik negara terus bergolak, isu-isu kontroversi turut berpaut ketat dan sukar diselesaikan, hubungan etnik tidak bertambah baik, asas-asas masyarakat majmuk ditimpa ujian. Oleh kerana kerajaan Perikatan Nasional dibentuk bukanlah melalui pilihan raya, maka ia tidak mempunyai manifesto pilihan raya, pentadbiran dasarnya sering kelihatan bertentangan dan berkonflik. Ketika sibuk menangani pandemik Covid-19, kerajaan PN masih belum memperlihatkan wawasan besar yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, apatah lagi keupayaan untuk membincangkan konsep semangat dan nilai-nilai teras dalam pentadbiran negara.

Sebagai sebuah pertubuhan pendidikan, kami amat mementingkan pencapaian dalam bidang pendidikan. Sehubungan itu, kami ingin menyenaraikan beberapa isu pendidikan penting sepanjang tahun lepas dan mengemukakan cadangan-cadangan pembaharuan. Pada masa akan datang, apakah pencapaian yang ditunjukkan oleh Perikatan Nasional (PN) akan menjadi perhatian dan penilaian semua rakyat negara ini.

 

2. Komen Terhadap Tadbir Urus Pendidikan Setahun Kerajaan Perikatan Nasional

(1)Pandemik Covid-19 Melebarkan Jurang Digital Dan Membawa Cabaran Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran

a. Pembelajaran Maya (Virtual learning) Yang Kurang Sempurna

Kebiasaan dan peraturan masyarakat dalam pelbagai aspek kehidupan telah banyak diganggu oleh Pandemik Covid-19. Transformasi digital dan penggunaan sains dan teknologi telah menjadi satu tren, termasuklah bidang pendidikan. Sepanjang tempoh pandemik ini, sekolah-sekolah di pelbagai peringkat telah beralih kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian tetapi ini mendedahkan fenomena jurang digital yang semakin melebar, wujudnya ketidaksamaan titik permulaan dalam PdP atas talian yang perlu ditangani melalui lebih banyak pelaburan sumber. Projek 1BestariNet juga kurang berkesan dan matlamat sebanyak 10 ribu buah sekolah kerajaan di seluruh negara dengan rangkaian 4G beserta platform pembelajaran maya belum dilengkapi.. Ini tidak dapat membantu pelaksanaan PdP dalam talian dalam tempoh pandemik ini dan terpaksa diganti dengan Google Classroom.

b. Masalah Jurang Digital Yang Serius

Menurut jawapan bertulis Menteri Pendidikan di Parlimen pada Julai 2020, sebanyak 36.9% murid tidak mempunyai kelengkapan untuk pembelajaran dalam talian. Sudah lama dikritik wujudnya jurang besar dalam sumber pendidikan di antara kawasan bandar dan luar bandar, keluarga yang kurang mampu tidak dapat menanggung kos pembelajaran dalam talian, malah ini didepani pula dengan liputan rangkaian telekomunikasi yang tidak memuaskan dan kelajuan jalur lebar yang lembap. Pada masa yang sama, jurang digital juga tercermin dalam perbezaan keupayaan guru dalam pengajaran digital dan sokongan pembelajaran yang diberikan oleh ahli keluarga kepada pelajar juga berbeza. Kebanyakan murid kekurangan disiplin diri, tidak berupaya belajar secara berdikari dan juga belum matang untuk menggunakan alat digital untuk mencapai literasi digital yang diperlukan dalam kehidupan dan pembelajaran.

c. Saluran Siaran Program Pendidikan Perlu Ditambah Baik

Pada bulan April 2020, kementerian pendidikan telah menyambung semula saluran rancangan TV Okey yang dikendalikan oleh Radio Televisyen Malaysia dan juga menyiarkan program pendidikan melalui ASTRO dan NTV7 bagi membantu para pelajar yang tidak ada akses internet untuk mengikuti pembelajaran di rumah. Antaranya, NTV7 telah ditukar menjadi Saluran Pendidikan (Didik TV) KPM mulai pertengahan bulan Februari tahun ini. Akan tetapi, pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan melalui siaran radio dan TV di peringkat awal, sama ada dari segi pengeluaran program dan kualiti kandungan, masih ada ruang untuk ditambah baik. Ini memerlukan perancangan pembangunan dan operasi jangka panjang untuk mencapai fungsi yang dikehendaki.

Slot Program TV Pendidikan ini membolehkan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif selain daripada pembelajaran dalam talian.

Pihak kerajaan dan sektor korporat haruslah masing-masing melancarkan pakej pemulihan ekonomi dan program sokongan jalur lebar dan pembelajaran di rumah, manakala pihak sekolah dan pertubuhan kebajikan masyarakat boleh memberi bimbingan kerja sekolah dan kaunseling kesihatan fizikal dan mental bagi mengurangkan jurang digital yang dihadapi oleh pelajar yang kurang bernasib baik. Masalah rangkaian telekomunikasi di negara kita berkait rapat dengan monopoli konsortium dalam industri tersebut. Kerajaan harus memandang serius perkara ini dan memiliknegarakan kemudahan utama rangkaian jalur lebar untuk mengadakan tender semula supaya dapat menggalakkan persaingan yang adil dalam industri telekomunikasi, jika tidak, fenomena serupa yang dihadapi oleh mahasiswa Universiti Sabah yang terpaksa mengambil peperiksaan di atas pokok akan terus berlaku.

(2) Membuat Keputusan Yang Lintang Pukang (Flip Flop) Dan Pertimbangan Yang Tidak Menyeluruh. Penurunan Kuasa Merupakan Jalan Keluar

Semasa berhadapan dengan penularan pandemik Covid-19, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memansuhkan peperiksaan UPSR dan PT3 dan menunda tarikh peperiksaan SPM, SVM dan STAM sebanyak dua kali. Selain itu, tarikh peperiksaan STPM turut ditunda. Pelajar yang akan menduduki peperiksaan diberi keutamaan kembali ke sekolah apabila situasi kes penularan Covid-19 terkawal.

Pada asasnya kami bersetuju dengan langkah-langkah tersebut, tetapi beberapa keputusan yang dibuat oleh KPM untuk menangani pandemik ini agak tergesa-gesa, lintang pukang dan tidak ada pertimbangan menyeluruh. Tarikh pembukaan semula sekolah telah ditukar sebanyak dua kali dan ini membawa kesulitan kepada guru, ibu bapa dan murid. Contohnya, KPM mengeluarkan Manual Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdR)/Manual PdPR pada 2 Febuari dan mengarahkan guru membuat persediaan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian. Akan tetapi, selepas dua minggu kemudian, Menteri Pendidikan pula mengumumkan bahawa sekolah-sekolah di seluruh negara akan dibuka mulai 1 Mac. Guru terkejut dengan pengumuman ini dan tidak sempat melakukan apa-apa.

Kami memahami bahawa adalah mustahil untuk membuat keputusan yang memuaskan semua pihak ketika naik turun naik kes Covid-19. Walau bagaimanapun, KPM seharusnya meminta pandangan secara meluas dengan pelbagai lapisan masyarakat dan pihak berkepentingan dalam proses membuat keputusan agar dapat meningkatkan tahap penerimaannya di kalangan rakyat. Pada masa yang sama, kami menyarankan KPM menurunkan kuasa kepada pihak sekolah selepas mengeluarkan garis panduan pembukaan sekolah, dengan ini mereka dapat menentukan tarikh pembukaan sekolah dan kaedah PdP secara fleksibel yang bersesuaian dengan keadaan pandemik setempat.

Kementerian Pengajian Tinggi dikritik kerana telah membuat keputusan yang lintang pukang berkenaan penuntut universiti kembali ke kampus dan pendaftaran pelajar bagi tahun akademik baharu. Baru-baru ini, hasil kajian dua ahli ekonomi dari luar negeri mendapati Malaysia berada di kedudukan kelima daripada 20 negara paling aktif menerbitkan jurnal palsu, namum menteri berkenaan berdiam diri tanpa sebarang komen terhadap pendedahan itu. Semenjak memegang jawatan Menteri Pengajian Tinggi selama setahun, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad jarang membincang idea berkenaan pembangunan pendidikan tinggi negara kita.

(3)Mengetepikan Sentimen Politik Kepartian, Kembali Kepada Profesionalisme Pendidikan

Pendidikan merupakan perancangan pembangunan jangka panjang, maka kesinambungan dan kestabilan dasar pendidikan sesebuah negara adalah amat penting sekali, dan dengan itu barulah boleh mendatangkan kesan yang menimbun tinggi secara berperingkat supaya dapat meningkatkan kualiti pendidikan. Dalam bidang pendidikan, segala-galanya haruslah berdasarkan kepada profesionalisme dan utamakan kepentingan pendidikan pelajar. Oleh itu, parti-parti pemerintah dan pembangkang harus bertolak ansur dan mengetepikan perbezaan pandangan politik kepartian masing-masing, menghentikan persaingan politik yang buruk, dan sudi menerima sebarang pandangan pendidikan yang baik daripada pihak lawan. Ini boleh memaparkan satu model persaingan politik kepartian yang sihat. Oleh itu, kami berpendapat sungguhpun Pakatan Harapan hanya menerajui tampuk pentadbiran negara tidak sampai dua tahun, namun beberapa dasarnya yang baik patut diteruskan dan dicontohi, ini termasuk:

a. Mempermudahkan Prosedur Kemasukan Kanak-kanak Tanpa Kerakyatan Ke Sekolah Kerajaan

Ini memaparkan semangat hak asasi dan kemanusiaan tanpa sempadan dengan menurunkan ambang pentadbiran kemasukan kanak-kanak tanpa kerakyatan ke sekolah kerajaan;

b. Penekanan Terhadap Pendidikan Sivik

Memperkenalkan semula pendidikan sivik di peringkat sekolah rendah dan menengah dengan cara yang fleksibel dan tidak membebankan pelajar. Pendidikan sivik dimasukkan ke dalam jadual waktu sekolah. Pendidikan sivik harus dilaksanakan selama satu jam pada minggu keempat setiap bulan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Pendidikan Islam/Pendidikan Moral untuk membolehkan para pelajar mempelajari pengetahuan sivik dan menghayatinya;

c. Memansuhkan Akta Universiti Dan Kolej Universiti, Ganti Dengan Akta Universiti Yang Baharu

Ini bertujuan menyediakan alam universiti yang lebih berorientasikan akademik dan budaya pentadbiran yang lebih tercerah dan terbuka agar dapat mewujudkan semangat dan wajah baharu universiti dan mengembalikan kecergasan akademik;

d. Pelaksanaan Dasar Sifar Penolakan Dan Dasar Keciciran Sifar

Memberi penekanan kepada kesamarataan dalam pendidikan dan melindungi golongan yang kurang bernasib baik untuk memastikan setiap kanak-kanak berpeluang belajar di sekolah dan membantu kanak-kanak yang tercicir dapat belajar semula sehingga menamatkan pendidikan menengah.

Kami mencadangkan kerajaan Perikatan Nasional memaparkan sikap yang profesional dan rasional dalam hal-hal yang betul dan tidak betul, mengambil berat dan meneruskan langkah-langkah pendidikan di atas yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu, dan bukannya dipengaruhi oleh pandangan politik kepartian.

 

3. Pengendalian Isu-isu Penting Pendidikan Cina Oleh Kerajaan Perikatan Nasional

(1) Peruntukan Yang Masik Tidak Adil Kepada SJKC

Buat pertama kalinya, peruntukan untuk penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah dibuat berdasarkan jumlah sekolah, bukannya seperti biasa tanpa mengambil kira jumlah sekolah (termasuk SJKC, SJKT, SBP, SABK, Sekolah Mubaligh) masing-masing diperuntukkan RM50 juta.  Perubahan ini sememangnya memenuhi sebahagian permintaan yang dikemukakan oleh pertubuhan-pertubuhan masyarakat. Akan tetapi, masih wujud perbezaan dalam formula perkiraan peruntukan di antara sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan, manakala tidak ada pengumuman dibuat berkenaan peruntukan untuk pembinaan sekolah SJKC yang baharu dan penempatan semula sekolah SJKC.

(2)Tidak Ada Peruntukan Kepada SMPC Dan 3 Buah Kolej Universiti Bukan Bermotifkan Keuntungan

Sekolah-sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) dan 3 buah Universiti Kolej bukan bermotifkan keuntungan merupakan institusi-institusi pendidikan yang bersifat bukan untung. Selama ini, mereka melahirkan modal insan untuk pembangunan negara kita. Namun, kerajaan Perikatan Nasional tidak meneruskan dasar pendidikan kerajaan terdahulu yang prihatin dan bermanfaat kepada rakyat. Kerajaan PN tidak memberikan sebarang peruntukan kepada sekolah-sekolah menengah persendirian Cina, Kolej Universiti Selatan, Kolej Universiti New Era dan Kolej Universiti Komunikasi Han Jiang dalam Belanjawan 2021. Ini amat mengecewakan masyarakat Cina.

(3) Masalah Kekurangan Guru SJKC Masih Berlarutan

Statistik sumber guru dan guru sandaran yang dipaparkan oleh KPM yang tidak sepadan dengan situasi sebenar. Ini juga menyebabkan masalah kekurangan guru tetap berlaku pada awal setiap tahun persekolahan baharu. Kementerian Pendidikan harus membuat kajian semula dan penambahbaikan dalam beberapa aspek seperti data statistik guru, latihan, temu duga, pelantikan dan penempatan guru tetap dan guru sandaran. Ini termasuk mewujudkan mekanisme penjejakan kekurangan guru yang berkesan  dan mengkaji sumber-sumber untuk mendapatkan tenaga perguruan, memperluaskan saluran institut latihan perguruan kerajaan.

(4)Isu Pelaksanaan Unit Tulisan Jawi

Pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 telah banyak menimbulkan keraguan dan kegelisahan di kalangan masyarakat Cina dan India semasa kerajaan Pakatan Harapan. Selepas kerajaan Perikatan Nasional ditubuhkan, keputusan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu pada 14 Ogos 2019 dikekalkan dan pelaksanaan unit tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 5 di SJKC dan SJKT diteruskan.

(5)Pengiktirafan UEC Tergendala

Kecuali parti PAS, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan masing-masing telah memasukkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia (UEC) ke dalam manifesto pilihan raya umum ke-14. Oleh itu, berdasarkan konsensus daripada parti-parti pemerintah dan pembangkang pada tahun 2018, maka kerajaan Perikatan Nasional seharusnya memulakan semula perbincangan mengenai pengiktirafan UEC.

(6)Peruntukan Yang Mengetepikan 16 Buah SMJK

KPM mengklasifikasikan 9 buah SMJK sebagai “Sekolah Bantuan Penuh” dengan alasan tanah sekolah telah diserahkan kepada kerajaan, dan mengklasifikasikan 7 buah SMJK sebagai “Sekolah Menengah Kebangsaan” atas alasan sekolah cawangan atau sekolah kedua. Ini menyebabkan peruntukan SMJK dalam Belanjawan 2021 tidak melibatkan 16 buah SMJK tersebut. KPM sepatutnya memberi layanan adil dan sama kepada 81 buah SMJK dan bukannya menggunakan alasan-alasan hakmilik tanah sekolah atau cawangan sekolah/sekolah kedua untuk mewujudkan layanan yang berbeza terhadap 16 buah SMJK berkenaan.

 

4. Pemerhatian Kami Terhadap Halatuju Pendidikan Negara

(1) Reformasi Dasar Pendidikan

a. Perkembangan Jawatankuasa-jawatankuasa Yang Ditubuhkan Tidak Diketahui

Semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), Kementerian Pendidikan telah menubuhkan beberapa jawatankuasa pendidikan, iaitu Jawatankuasa Dasar Pendidikan Negara (JKDPN), Jawatankuasa Mengkaji Akta Universiti dan Kolej Universiti, Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC), Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (JKPTVET) dan sebagainya. Antara tujuan utama jawatankuasa-jawatankuasa tersebut adalah untuk memperluaskan konsultasi dan penyertaan sivik, melibatkan ahli-ahli professional dan pihak berkepentingan ke dalam proses membuat keputusan. Ini membantu pemantauan dasar dan memperkukuhkan kerjasama di antara kerajaan dan masyarakat. Namun, sejak penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa tersebut hingga kini, laporan-laporan kajian dan cadangan-cadangan reformasi pendidikan masih belum diumumkan manakala rakyat tidak tahu sama ada jawatankuasa-jawatankuasa tersebut masih beroperasi atau tidak di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional.

b. KPM Sekali Lagi Dibahagi Kepada Dua Kementerian

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) membahagikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada dua kementerian, iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Tindakan ini pernah dilakukan semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) manakala kerajaan Pakatan Harapan (PH) pula menggabungkan semula kedua-dua kementerian menjadi KPM. Kini, KPM sekali lagi dibahagi kepada dua dan sebuah kementerian baharu ditubuhkan untuk mengurus pendidikan tinggi tanpa mengumumkan sebab-sebabnya.

Kedatangan pandemik Covid-19 dan perubahan kerajaan menyebabkan langkah-langkah reformasi dasar pendidikan kelihatan tertunda. Pendidikan merupakan asas pembangunan negara dan reformasi pendidikan merupakan kunci kejayaan negara. Ini tidak boleh dilengah-lengahkan lagi. KPM seharusnya terus memperhebatkan lagi penyertaan sivik dalam membuat keputusan, melibatkan wakil-wakil masyarakat ke dalam jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan, mendengar suara ahli-ahli profesional dan rakyat akar umbi, bertanggungjawab mengumumkan progres dan cadangan kerja setiap jawatankuasa agar mendapat kepercayaan rakyat.

KPM dibahagikan kepada dua kementerian sememangnya ada kelebihan dan kelemahannya. Akan tetapi, dasar pendidikan tinggi merupakan lanjutan daripada pendidikan asas, maka penyelarasan dan saling melengkapi di antara kedua-dua kementerian tersebut adalah amat penting.

(2) Mengambil Berat Tentang Generasi Tersisih (Lost Generation)

Perangkaan UNESCO menunjukkan penutupan sekolah akibat pandemik Covid-19 telah menyebabkan kehilangan sebanyak dua pertiga waktu pembelajaran setahun secara purata. Setahun selepas pandemik tersebut, terdapat 800 juta orang pelajar di seluruh dunia menghadapi masalah gangguan dalam pembelajaran. Pelajar di semua peringkat di negara kita hanya kembali ke sekolah selama lima atau enam bulan sahaja pada tahun 2020. Pemerhatian kami mendapati bahawa:

a. Jurang Pendidikan Yang Melebar

Pandemik Covid-19 telah melebarkan jurang pendidikan di antara golongan kaya dan miskin. Mereka yang berkemampuan boleh menikmati kemudahan pembelajaran dalam talian yang lebih sempurna. Pelajar miskin pula dibelenggu masalah kekurangan kemudahan pembelajaran dalam talian, mereka bukan saja dinafikan hak belajar, malah tidak dapat menikmati bantuan makanan percuma yang disediakan di sekolah. Mengikut laporan UNESCO, dianggarkan lebih daripada 30 juta pelajar tercicir daripada persekolahan akibat faktor-faktor ekonomi selepas pembukaan semula sekolah. Negara kita turut akan menghadapi masalah ini.

b. Masalah Pembelajaran Dan Pembentukan Sahsiah Murid

Penutupan sekolah amat menjejaskan progres pembelajaran pelajar, terutamanya pelajar Tahap Satu yang masih mempelajari kemahiran “membaca, bercakap dan menulis”. Ini boleh menyebabkan mereka menghadapi kesukaran dalam penyambungan kurikulum sekolah rendah dan menengah sehingga mengakibatkan mereka ketinggalan dalam pembelajaran berbanding dengan tahun persekolahannya. Pada masa yang sama, tempoh penutupan sekolah yang berpanjangan juga menghalang interaksi sosial dan hubungan di antara pelajar, ini boleh menjejaskan pembentukan kerohanian dan sahsiah pelajar.

Pencegahan pandemik Covid-19 sememangnya ialah tugas yang paling penting dan pendidikan juga merupakan perkara yang amat penting. Kedua-duanya hendaklah mencapai keseimbangan. Kami berpendapat KPM harus menubuhkan jawatankuasa bagi menggabungkan tenaga pelbagai pihak untuk membantu dan menyelesaikan masalah-masalah pendidikan yang dihadapi oleh generasi yang tersisih akibat daripada pandemik tersebut.