Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong
16 Januari 2021
Meminta KPM Membatalkan Borang Soal Selidik
Menolak Mod Pengajaran dan Pembelajaran Unit Tulisan Jawi Sedia Ada
- Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) mengedarkan borang soal selidik kepada para ibu bapa murid Tahun 4 untuk menentukan samada pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi dilaksanakan pada tahun ini. Pada hakikatnya, kajian soal selidik yang dijalankan oleh KPM pada tahun 2020 menunjukkan sebanyak 97.3% iaitu 1262 buah daripada 1297 buah SJKC di seluruh negara membantah pelaksanaan unit tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, maka pendirian SJKC terhadap isu tersebut adalah amat jelas sekali. Masyarakat Cina juga beberapa kali menyatakan bahawa tidak setuju dengan pengedaran semula borang soal selidik dan pelaksanaan tersebut yang tidak wajar diteruskan. Sehubungan dengan itu, Dong Jiao Zong menggesa KPM membatalkan pengedaran borang soal selidik tersebut. Kami juga menyeru semua lembaga pengelola SJKC, persatuan ibu bapa dan guru serta para ibu bapa berpendirian tegas untuk menolak mod pengajaran dan pembelajaran unit tulisan Jawi sedia ada.
- Pada masa yang sama, kajian yang dijalankan oleh Dong Zong pada tahun lepas juga menunjukkan sebanyak 1275 buah SJKC (98.23%) membantah pelaksanaan unit tulisan Jawi, dan ini sama dengan hasil kajian KPM. Fakta ini jelas mencerminkan hasrat para ibu bapa. Sekiranya KPM sekali lagi mengedarkan borang soal selidik, ini hanya mengulangi perkara yang sama, malah membazirkan sumber-sumber pentadbiran dan memecahbelahkan masyarakat berbilang etnik negara kita, serta menimbulkan rasa kurang senang dan gelisah.
- Dong Jiao Zong meminta KPM menangguhkan pelaksanaan unit tulisan Jawi yang banyak menimbulkan pertikaian dan menghentikan pengedaran borang soal selidik dengan segera. Pada masa yang sama, Dong Jiao Zong juga menyeru semua lembaga pengelola SJKC, persatuan ibu bapa dan guru serta para ibu mengikuti perkembangan isu ini, menolak mod pengajaran dan pembelajaran unit tulisan Jawi dan berpegang kepada pendekatan kepelbagaian dalam memperkenalkan seni kaligrafi pelbagai etnik yang mencerminkan keadaan sebenar masyarakat majmuk negara kita.
- Pendidikan merupakan perkara yang bersangkut-paut dengan orang ramai dan penting untuk masa hadapan negara kita. Oleh itu, Dong Jiao Zong menegaskan sekali bahawa KPM harus memperkasakan penyertaan rakyat dan segera berjumpa dengan pihak-pihak yang berkepentingan, termasuk pertubuhan-pertubuhan pendidikan dan kebudayaan masyarakat Cina dan India serta pertubuhan-pertubuhan di Sabah dan Sarawak. Ini bagi menubuhkan suatu jawatankuasa kepelbagaian bahasa dan budaya untuk memastikan suara rakyat dapat disampaikan, menjalin kerjasama di antara kerajaan dan rakyat, membolehkan pelbagai pihak terlibat dalam proses membuat keputusan serta membincang dan memantau dasar-dasar pendidikan negara kita.