fbpx

Masalah Kekurangan Guru berlaku Lagi Di SJKC  Menyeru KPM Cari Penyelesaian Segera

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

29 Disember, 2020 

Masalah Kekurangan Guru berlaku Lagi Di SJKC 

Menyeru KPM Cari Penyelesaian Segera

 

Baru-baru ini SJKC menghadapi masalah kekurangan guru lagi, Dong Jiao Zong menganggap isu kekurangan guru sudah lama mengganggu barisan hadapan SJKC dan membawa kesan buruk kepada hak para pelajar. Kami berpendapat sudah tiba masanya pihak KPM mengetepikan kaedah dahulu yang kurang berkesan dan menunjukkan keikhlasannya dengan memulakan satu formula dan jadual waktu yang efektif untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru dengan sebaik-baiknya. 

 

Kami juga amat tidak puas hati dengan statistik sumber guru dan guru sandaran yang dipaparkan oleh KPM yang tidak sepadan dengan situasi sebenar. Ini juga menyebabkan masalah kekurangan guru tetap berlaku pada awal setiap tahun persekolahan baharu. Maka Dong Jiao Zong menyeru KPM membetulkan dan mengemaskinikan informasi dan data yang sedia ada, di samping mengemukakan formulasi serta langkah-langkah jangka pendek dan pajang  untuk menyelesaikan isu berkenaan dengan berkesan. 

 

 Berhubung dengan masalah kekurangan guru SJKC, kami berpendapat Kementerian Pendidikan harus mempercepatkan dan menyiapkan segala
urusan penempatan guru baharu dan guru sandaran ke sekolah-sekolah berkenaan dalam jangka pendek. Ini termasuk 681 orang pelajar yang tamat pengajian Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) sejak bulan Jun 2020 dan 21 orang guru sandaran yang diambil dan lulus temu duga
untuk memastikan mereka dapat melaporkan diri di sekolah sebelum sesi persekolahan baharu bermula pada 20 Januari 2021 agar pembelajaran
murid-murid dan urusan pentadbiran sekolah tidak terjejas. Selain itu, Kementerian Pendidikan harus mengagihkan peruntukan yang cukup untuk
pelantikan guru-guru sandaran semua aliran sekolah dengan segera dan mempercepatkan urusan kelulusan pengambilan guru-guru sandaran untuk mengelakkan lembaga pengelola sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru menanggung gaji guru-guru sandaran.

 

Dari segi jangka masa panjang, Kementerian Pendidikan perlu membuat kajian semula dan penambahbaikan dalam beberapa aspek seperti data
statistik guru, latihan, temu duga, pelantikan dan penempatan guru tetap dan guru sandaran. Ini termasuk mewujudkan mekanisme penjejakan kekurangan guru yang berkesan  dan mengkaji sumber-sumber untuk mendapatkan tenaga perguruan, memperluaskan saluran institut latihan perguruan
kerajaan, iaitu membuka permohonan program latihan perguruan kepada para graduan universiti awam dan swasta tempatan agar dapat meningkatkan
sumber-sumber  tenaga perguruan bagi memenuhi bilangan pelajar latihan perguruan yang diperlukan.

 

Akhir kata, kami menyeru KPM menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyelesaikan isu kekurangan guru di SJKC dalam waktu dekat dan mengundang Dong Jiao Zong dan semua pihak dan pertubuhan yang berkaitan dengan Pendidikan Cina untuk menyemak semula sistem dan mekanisme latihan perguruan SJKC serta merumuskan satu penyelesaian yang menyeluruh agar mutu pengajaran di SJKC dapat dipelihara dan dijamin.