fbpx

Kerajaan Perlu Kendali Vaksin Secara Telus dan Mempertingkatkan Kempen Kesedaran Vaksin Demi Kemaslahatan Masyarakat  

Kenyataan Dong Zong

7 Jun 2021

Kerajaan Perlu Kendali Vaksin Secara Telus dan Mempertingkatkan Kempen Kesedaran Vaksin Demi Kemaslahatan Masyarakat

Menjelang pandemik COVID-19 yang semakin serius, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Menyeluruh (FMCO) mulai 1 Jun. Hal ini telah membawa impak besar kepada sektor sosioekonomi terutama kehidupan rakyat kelas menengah dan bawahan yang berada dalam kesusahan. Menteri Pendidikan Kanan, YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi bin Md Jidin telah mengumumkan bahawa semua sekolah perlu melaksanakan jadual pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama 25 hari selepas cuti pertengahan dan sehingga cuti sekolah pada pertengahan Julai. Perkara ini telah menyebabkan kerisauan di kalangan pelajar dari segi progresif pembelajaran dan secara tidak langsung akan mempengaruhi kesihatan mental dan fizikal antara mereka.

Oleh itu, selain pematuhan langkah-langkah pencegahan pandemik, Dong Zong berpendapat bahawa kerajaan harus mempercepatkan program vaksinasi untuk meratakan lengkungan jangkitan pandemik COVID-19 dan mencegah sebarang penularan wabak ini yang akhirnya akan memudaratkan perkembangan setiap sektor dalam masa jangka panjang.

Perdana Menteri telah mengumunkan bahawa negara kita akan menerima hampir 16 juta dos vaksin COVID-19 dalam masa dua bulan yang akan datang untuk memastikan bekalan tersebut  mencukupi untuk mencapai suntikan 150 ribu dos vaksin sehari. Dong Zong berpendirian bahawa vaksin COVID-19 antara sumber terpenting untuk negara kita untuk masa ini, maka kerajaan perlu mengendalikan vaksin tersebut secara telus serta sentiasa memastikan pemberian maklumat yang lengkap dan tanpa sebarang penyalahgunaan kuasa ataupun rasuah untuk kemaslahatan masyarakat.

Kini, negara kita merupakan negara yang mencapai kes jangkitan baru tertinggi malah kadar suntikan vaksin COVID-19 yang terendah di rantau Asia Tenggara. Mengikut statistik dari Our World in Data (OWID) pada 4 Jun, hanya 3.48% rakyat negara kita yang telah menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19, jauh ketinggalan berbanding negara Indonesia, Kemboja dan Singapura. Manakala untuk negara Britain dan Amerika Syarikat, peratusan orang yang telah menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 telah mencapai 39.48% dan 41.10% masing-masing. Hal ini menunjukkan tahap vaksinasi COVID-19 di negara kita sangat ketinggalan dan agak sukar untuk mencapai tahap 80% penduduk menerima vaksin pada akhir tahun iaitu sasaran untuk mencapai imuniti kelompok.

Pada masa yang sama, walaupun jumlah pendaftaran vaksinasi COVID-19 negara kita telah melebihi 12.64 juta, namun ia hanya menunjukkan 51% daripada mereka yang layak menerima vaksin. Isu-isu mengenai tidak hadir pada hari suntikan vaksin di merata tempat juga menunjukkan sebilangan orang masih ragu terhadap vaksinasi COVID-19. Kami berpendapat bahawa kerajaan harus mempertingkatkan kesedaran vaksinasi untuk mengatasi salah faham dan kebimbangan orang awam terhadap vaksin COVID-19, serta melipatgandakan kerjasama dengan sektor perubatan swasta untuk menambahkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau PPV bergerak di seluruh negara agar ia dapat menyenangkan rakyat dan meningkatkan kadar suntikan dalam jangka masa pendek. Masyarakat awam juga dinasihatkan untuk melangsung tanggungjawab dengan menyokong kempen vaksinasi supaya kita dapat mencapai imuniti kelompok secepat mungkin dan mengakhiri tempoh masa gelap ini bagi memulihkan kehidupan harian kita.