fbpx

Menyeru Malaysia dan China Membuka Laluan Hijau Untuk Membantu Mahasiswa Malaysia Kembali Ke IPT China Mengikuti Kursus Pengajian Secara Fizikal  

Kenyataan Dong Zong

1 Jun 2021

Menyeru Malaysia dan China Membuka Laluan Hijau Untuk Membantu Mahasiswa Malaysia Kembali Ke IPT China Mengikuti Kursus Pengajian Secara Fizikal

 

Malaysia dan Republik Rakyat China telah menjalin hubungan diplomatik selama 47 tahun. Interaksi dan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti politik, ekonomi, budaya dan pendidikan di antara kedua-dua negara telah membuahkan banyak hasil. Trend pembangunan sedemikian masih terus berkembang. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, interaksi dan kerjasama antara Malaysia dan Republik Rakyat China dalam bidang pendidikan turut mencapai perkembangan yang pesat, antaranya, jumlah pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Republik Rakyat China terus meningkat. Sehingga Mac 2019, hampir 9500 orang pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di Republik Rakyat China, ini termasuk pelajar yang ditaja oleh kerajaan dan pelajar yang dibiayai sendiri. Ini jelas menunjukkan interaksi baik antara kedua-dua negara dalam bidang pendidikan merupakan suatu trend yang umum.

 

Malaysia dan China telah mengambil pelbagai langkah untuk mencegah pandemik Covid-19 sejak awal tahun 2020 sehingga kini. Pelajar-pelajar yang pulang ke Malaysia semasa percutian musim sejuk pada bulan Januari tahun lalu tidak dapat kembali ke IPT di China melebihi setahun, dan pelajar baharu juga gagal mengikuti kursus-kursus di IPT China. Walaupun kebanyakan IPT China telah menyediakan kursus dalam talian untuk pelajar-pelajar antarabangsa, namun kualitinya tidak sekata, dan sebahagian kursus tidak sesuai dijalankan  dalam talian. Ini menyebabkan hak pendidikan pelajar-pelajar antarabangsa yang menuntut di China terjejas pada tahap yang berbeza-beza.

 

Sebenarnya, semua pelajar termasuk pelajar antarabangsa di China telah kembali ke kampus untuk kelas fizikal mulai semester kedua tahun 2020. Ramai pelajar Malaysia yang mengikut kursus IPT China secara dalam talian di Malaysia menghadapi pelbagai kesukaran, terutamanya yang melibatkan latihan dan kursus praktikal, dan pelajar Malaysia yang akan tamat pengajian. Pelajar antarabangsa yang sedemikian rupa sememangnya mempunyai keperluan sebenar untuk mengikuti kelas fizikal di IPT China, barulah mereka dapat meningkatkan kesan pembelajaran profesion mereka dan menjamin hak pendidikan mereka.

 

Dong Zong menyeru Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Duta Khas Perdana Menteri ke China, YB Datuk Seri Tiong King Sing menghubungi kerajaan China untuk membincangkan hal-hal mengenai pelajar Malaysia kembali ke IPT China mengikuti kursus pengajian secara kelas fizikal. Kami berharap kedua-dua kerajaan Malaysia dan China mengambil berat tentang hak pendidikan pelajar Malaysia dan kesulitan yang mereka hadapi. Kami berharap kedua-dua negara mencari jalan penyelesaian melalui “Jawatankuasa Peringkat Tinggi Malaysia-China” yang diumumkan oleh Menteri Luar Negeri kedua-dua negara pada bulan April tahun ini, ini termasuk penyediaan Laluan Hijau, pemberian vaksin kepada para pelajar antarabangsa, langkah kuarantin dan sebagainya. Kami juga berharap kerajaan Malaysia dan China membantu para pelajar yang perlu menjalankan latihan dan kursus praktikal serta mereka yang akan tamat pengajian kembali ke IPT di China menjelang semester baharu yang akan bermula pada bulan September tahun ini.