Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong
26 Februari 2021
- Kerajaan kini telah memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama. Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa kerajaan akan memberikan keutamaan kepada para guru, dan di bawah pengaturan KPM terdapat seramai 55,539 orang guru yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi akan dimasukkan dalam program imunisasi fasa pertama. Dong Jiao Zong mengalu-alukan pengumuman tersebut kerana vaksinasi boleh melindungi para guru daripada dijangkiti virus Covid-19 semasa sekolah dibuka semula dan ini membolehkan para guru dan murid boleh menjalankan pengajaran dan pembelajaran dalam keadaan yang selamat.
- Menurut pengumuman oleh Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin, sekolah swasta akan memulakan sesi persekolahannya mengikut jadual sekolah kerajaan. Sehubungan itu, demi membolehkan para pelajar kembali ke sekolah, institusi-institusi pendidikan swasta termasuk Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) kini bersiap sedia untuk pembukaan semula sekolah dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19. Walau bagaimanapun, kerajaan sehingga kini masih tidak menjelaskan sama ada guru-guru sekolah swasta akan diberi keutamaan untuk menerima vaksinasi Covid-19. Ini menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak. Dong Jiao Zong prihatin terhadap perkara ini dan menyeru kerajaan memastikan semua guru sekolah swasta termasuk Sekolah Menengah Persendirian Cina, sekolah swasta rendah dan menengah serta sekolah agama menerima layanan yang sama seperti sekolah kerajaan dan menjadi kumpulan yang diberi keutamaan untuk menerima vaksinasi Covid-19.
- Dong Jiao Zong berpandangan, penutupan sekolah kerajaan dan sekolah swasta akibat pandemik Covid-19 telah membawa kesan serius terhadap pembelajaran pelajar dan memburukkan lagi ketidaksamaan dalam pendidikan, serta memudaratkan pembangunan pendidikan negara. Oleh itu, untuk membolehkan semua institusi pendidikan beroperasi semula dan menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka, maka adalah penting untuk memastikan semua guru yang menjalankan tugas di barisan hadapan dapat menerima vaksinasi Covid-19. Ini bukan sahaja boleh memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19, malah memberi keyakinan kepada para ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Dengan adanya usaha bersama seluruh rakyat untuk memerangi wabak Covid-19, akhirnya pendidikan di sekolah akan dapat kembali ke landasan biasa dan ini memberi manfaat kepada pembangunan negara kita.