fbpx

Menadah yang rebah

KENYATAAN MEDIA BERSAMA

26 APRIL 2020

 

Menadah yang rebah

 

Kita perlu menadah mereka yang rebah di barisan depan ketika memerangi wabak Covid-19 dengan bertarungkan nyawa mereka.

 

Pemergian arwah Nadila Rahmat, jururawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor bermakna sepasang ibu bapa kehilangan anak sulungnya, empat orang adik-beradik kehilangan kakaknya, dan sebuah keluarga kehilangan tunggak ekonominya. Kami terpanggil untuk mengisi kehilangan ini dengan menjadikan keluarga ini keluarga kita bersama.

 

Pemergian arwah Nadila Rahmat adalah satu kehilangan kepada masyarakat dan negara: Hospital kehilangan seorang jururawat yang mempunyai pengalaman 10 tahun; Pesakit-pesakit kehilangan seorang jururawat yang sentiasa bersedia untuk meringankan kesakitan pada bila-bila masa; Malaysia kehilangan seorang wirawati yang tidak berganjak dari garis depan ketika memerangi wabak Covid-19.

 

Tidak terdaya untuk kita menggantikan seorang insan yang murni ini. Pengorbanannya ditangisi bersama. Kami sekadar melakukan apa yang terdaya, untuk meredakan keperitan dan kesedihan lantaran kehilangan ini, sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan pengorbanan arwah. Jikalau senyuman seorang jururawat mampu meringankan kesakitan pesakitnya, moga-moga derma yang tidak seberapa ini meredakan sedikit kesulitan yang dihadapi keluarga arwah.

 

Kami, Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), yang berat hati dengan pemergian arwah Nadila Rahmat, menyerahkan kutipan derma daripada rakan-rakan yang prihatin sejumlah RM 65,000 kepada arwah keluarga Nadila Rahmat. Kami berterima kasih kepada Dr Musa Mohd Nordin daripada Hospital Pakar KPJ Damansara yang menghubungkan kami dengan keluarga arwah. Rakan-rakan lain yang ingin menghulurkan dana bantuan boleh berbuat demikian kepada akaun bank keluarga arwah: Maybank, 151089316135, RODIAH BINTI MOHD DON dan memaklumkan kepada keluarga melalui emel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. atau whatsapp:+60 13-635 3528.

 

Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)

Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH)