Kenyataan Bersama Dong Zong dan Jiao Zong
5 Februari 2020
YAB Perdana Menteri merangkap Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr. Mahathir berkata bahawa bahasa Inggeris akan digunakan semula untuk pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Matematik dan Sains dalam mesyuarat khas bersama pentadbiran Kementerian Pendidikan pada 30 Januari 2020. Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia ( Dong Zong ) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia ( Jiao Zong ) memandang serius terhadap isu ini dan mengeluarkan kenyataan bersama seperti berikut.
1. Dong Jiao Zong bersetuju dengan keperluan dan kepentingan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik di kalangan murid-murid. Bagaimanapun, pelaksanaan dasar “Pengajaran Dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)” dari tahun 2003 hingga 2009 yang berakhir dengan kegagalan jelas membuktikan bahawa dasar PPSMI bukan sahaja tidak berkesan untuk meningkatkan penguasaan murid-murid terhadap Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik malah mengakibatkan kemerosotan pencapaian murid-murid dalam mata pelajaran
Pendidikan memainkan peranan penting untuk menentukan masa depan setiap generasi, sekiranya kerajaan melaksanakan semula dasar PPSMI yang bercanggah dengan teori pendidikan, pasti mendatangkan impak negatif kepada pendidikan negara kita. Maka, sebarang dasar dan langkah yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hendaklah menepati keperluan sebenar dengan mengutamakan hasil analisis yang menyeluruh dan pandangan profesional mengenai pendidikan.
2. Walaupun dibantah keras oleh rakyat, namun kerajaan tetap melaksanakan dasar PPSMI pada tahun 2003. Bagaimanapun, setelah 6 tahun pelaksanaan dasar PPSMI, KPM terpaksa membatalkan dasar ini kerana bukan sahaja gagal meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, malah pencapaian murid-murid dalam Sains dan Matematik juga merosot. Kajian ahli akademik juga menunjukkan bahawa pencapaian murid-murid negara kita dalam pentaksiran PISA dan TIMSS pada masa itu berada di bawah taraf antarabangsa disebabkan pelaksanaan PPSMI. Namun setelah dasar PPSMI dimansuhkan pada tahun 2009, prestasi pencapaian murid-murid negara kita dalam pentaksiran PISA tahun 2018 telah menunjukkan peningkatan.
Kajian UNESCO telah menunjukkan bahawa murid-murid belajar dengan lebih berkesan apabila diajar dalam bahasa ibunda. Maka, dasar PPSMI jelas bercanggah dengan saranan UNESCO yang mengutamakan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda. Selain itu, banyak kajian ilmiah yang dijalankan di peringkat antarabangsa juga membuktikan kesan negatif PPSMI dan tidak memberi manfaat kepada pembelajaran murid-murid.
3. Memandangkan prestasi institusi pendidikan awam semakin merosot, ramai ahli akademik telah membuat seruan supaya pembaharuan pendidikan negara kita dijalankan dengan segera. Berikutan dengan perkembangan AI yang semakin pesat, kebanyakan negara telah menjalankan pembaharuan pendidikan dengan menitikberatkan pendidikan yang berorientasikan perkembangan aspek kemanusiaan dan kemenjadian murid-murid, serta melaksanakan kurikulum sekolah yang mengutamakan unsur-unsur pemikiran kreatif, kemahiran berfikir aras tinggi dan pembelajaran merentas kurikulum.
Pembaharuan pendidikan bagi Malaysia Baru hendaklah selaras dengan arus perkembangan global dan sanggup berdepan dengan cabaran masa akan datang tetapi bukan meneruskan minda lama yang ketinggalan zaman, seperti melaksanakan semula dasar PPSMI yang telah terbukti gagal. Sehubungan itu, Dong Jiao Zong menyeru supaya kerajaan Pakatan Harapan bertindak segera untuk melantik seorang Menteri Pendidikan yang berpandangan jauh dan berketrampilan dalam menerajui pembangunan pendidikan negara sejajar dengan arus perkembangan pendidikan sedunia. Sebelum pelantikan Menteri Pendidikan yang baru, KPM tidak patut melaksanakan sebarang dasar pendidikan baru secara tergesa-gesa.
4. Dong Jiao Zong menyeru supaya KPM mengadakan perbincangan terperinci dengan pertubuhan-pertubuhan pendidikan dan ahli-ahli akademik sebelum membuat sebarang keputusan mengenai dasar pendidikan. Adalah penting bagi kerajaan untuk mendengar pandangan-pandangan rakyat, khasnya pihak-pihak yang berkepentingan supaya dasar pendidikan yang digubal oleh kerajaan mendapat persetujuan semua pihak. Sehubungan itu, kami ingin mengingatkan Kabinet supaya mengambil kira pandangan rakyat dan pendapat profesional dalam perbincangan berkenaan pelaksanaan semula PPSMI.