Kenyataan Mesyuarat Bersama Kali Ke-95 Ahli-Ahli Dong Zong
- Dong Zong secara konsisten berpendirian agar kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Cadangan-cadangan Mesyuarat Perwakilan Ahli sepanjang tahun-tahun terdahulu dengan jelas menyatakan pendirian ini. Kami dengan penuh hormat menyeru parti-parti politik yang pernah berjanji untuk mengiktiraf UEC dalam manifesto pilihan raya mereka, terutamanya Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang membentuk Kerajaan Perpaduan, agar bekerjasama dan mengambil tindakan proaktif untuk menunaikan janji tersebut. Kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa pengiktirafan UEC adalah isu yang berkaitan dengan pendidikan. Sehubungan itu, kami menyeru semua pihak berkepentingan, terutamanya parti politik, agar mengetepikan fahaman dan agenda politik, sebaliknya menilainya dengan tumpuan kepada pertimbangan profesional dan akademik. Pengiktirafan sijil UEC sewajarnya dijadikan salah satu kelayakan untuk kemasukan ke universiti awam serta institusi perkhidmatan awam.
- Masalah kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) , kekurangan guru matapelajaran bahasa dan Kesusateraan Cina di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Menengah Kebangsaan telah lama tidak diselesaikan dengan baik, dan ini telah memberi kesan serius terhadap kualiti pendidikan di sekolah-sekolah ini. Dong Zong meminta Kementerian Pendidikan menubuhkan “Jawatankuasa Khas Sumber Guru Sekolah Cina” yang melibatkan Dong Zong, Jiao Zong, Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia (KKGGBM), Persatuan Guru Besar SJKC Malaysia dan lain-lain badan pendidikan Cina, serta jabatan berkaitan Kementerian Pendidikan yang bertanggungjawab dalam hal sumber guru, untuk membincangkan dan memberi cadangan-cadangan demi menyelesaikan masalah kekurangan guru secara menyeluruh.
- Dong Zong meminta Kementerian Pendidikan menambahkan bilangan pengambilan kemasukan bagi bidang pengkhususan Bahasa Cina Pendidikan Rendah di Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Lulusan UEC (PISMP-UEC) untuk memenuhi keperluan perguruan di SJKC.
- Dong Zong mengiktiraf kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bersetuju bahawa sebagai rakyat Malaysia, pelajar dari pelbagai etnik harus menguasai Bahasa Kebangsaan. Berdasarkan perspektif teori dan amalan pendidikan, sememangnya terdapat perbezaan dalam kaedah pembelajaran di kalangan pelajar dari sekolah-sekolah pelbagai aliran. Oleh itu, bahan pengajaran dan kaedah pembelajaran perlu dirangkakan mengikut latar belakang dan keperluan aliran sekolah serta pelajar, termasuk pendekatan pengajaran dan pembelajaran bahasa kedua. Ini boleh menggalakkan minat dan kesediaan pelajar dalam pembelajaran dan memastikan pencapaian yang berkesan dalam penguasaan Bahasa Kebangsaan.
- Dong Zong mengakui penyampaian acara-acara yang mempamerkan ciri-ciri kepelbagaian dan anti-rasuah dalam sambutan Hari Kebangsaan tahun ini. Kami menyeru kerajaan menerapkan ciri-ciri kepelbagaian dan anti-rasuah dalam tadbir urus kerajaan untuk mempromosikan hubungan harmoni dan perkembangan positif antara kaum.