fbpx

Kenyataan Usang Menteri Kanan Pendidikan Bercanggah Dengan Profesionalisme Pendidikan. Pengiktirafan UEC Tidak Harus Dipolitikkan Lagi.  

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

28 Julai 2022

Kenyataan Usang Menteri Kanan Pendidikan Bercanggah Dengan Profesionalisme Pendidikan. Pengiktirafan UEC Tidak Harus Dipolitikkan Lagi.

 

Semasa memberi jawapan bertulis di Parlimen baru-baru ini, menteri kanan pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Melainkan Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama, melaksanakan kurikulum kebangsaan dan menyediakan pelajar untuk menduduki peperiksaan yang sama, barulah kerajaan mengiktiraf UEC. Kenyataan menteri kanan pendidikan tersebut mengulangi kata-kata usang oleh sebilangan ahli politik dan kerajaan lalu yang bukan sahaja jahil dalam profesionalisme pendidkan, bahkan juga tidak mengulas nilai UEC dengan adil. Dong Jiao Zong tidak bersetuju dengan kenyataan sedemikian rupa yang dikeluarkan oleh menteri tersebut.

 

Terlebih dahulu, kami ingin mengingatkan semua pihak agar tidak lupa dengan janji pengiktirafan UEC merupakan konsensus bersama di kalangan parti-parti pemerintah dan pembangkang semasa PRU (Pilihan Raya Umum) 2018. Pada masa itu, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dianggotai oleh Datuk Dr Radzi Jidin, telah bersetuju dan menyenaraikan pengiktirafan UEC di dalam manifesto pilihanrayanya. Adakah kenyataan menteri kanan pendidikan di Dewan Rakyat mewakili pendirian terbuka kerajaan semasa sebelum Pilihan Raya Umum ke-15? Selain itu, parti-parti pemerintah dan pembangkang juga hendaklah memberi penjelasan tentang isu ini.

 

Pada hakikatnya, kurikulum SMPC sentiasa mengikuti teori dan amalan pembangunan kurikulum serta merujuk kepada kurikulum standard mata-mata pelajaran yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kandungannya cukup mencerminkan ciri-ciri tempatan dan kepelbagaian, meliputi perspektif dalam dan luar negara, memupuk semangat patriotisme di kalangan pelajar, mementingkan pendidikan akhlak dan nilai-nilai murni selaras dengan masyarakat majmuk Malaysia. Oleh itu, menteri kanan pendidikan seharusnya melapangkan dada dan mengambil perspektif yang lebih luas untuk meneliti dan menilai isu pengiktirafan UEC demi kepentingan pelajar, pemupukan bakat negara dan profesionalisme pendidikan.

 

Selama ini, SPMC telah melahirkan banyak bakat untuk negara kita. Sumbangan pemegang UEC dan graduan SMPC kepada negara merupakan satu fakta yang jelas. Keengganan kerajaan mengiktiraf UEC sebagai satu kelayakan kemasukan ke universiti-universiti awam sebenarnya terjerat dengan pandangan sempit dan permainan politik, dan tidak ada kaitan dengan sama ada kurikulum UEC menepati prinsip pendidikan negara. UEC bukan sahaja diiktiraf oleh universiti-universiti luar negara, bahkan juga diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) sebagai satu kelayakan kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta tempatan, manakala institut-institut pendidikan guru (IPG) di bawah kementerian pendidikan juga menerima pemegang UEC belajar di IPG dan menjadi guru di dalam perkhidmatan awan.

 

Sehubungan itu, kami menyeru semua pihak menilaikan pengiktirafan UEC dari segi sudut pendidikan dan akademik, dan berhentilah mempolitikkan lagi isu pengiktirafan UEC. Di samping itu, kami juga menyeru KPM segera menerima laporan Pasukan Petugas Dasar Unified Examination Certified (PPDUEC) yang diterajui oleh Eddin Khoo dan menggumumkan kandungan laporan tersebut untuk memaparkan kebertanggungjawaban kepada orang ramai.