fbpx

Menyeru KPM Mengkaji dan Memperbaiki Persediaan Yang Tidak Teliti Dalam Pembukaan Semula Sekolah

Kenyataan Dong Zong dan Jiao Zong

12 Ogos 2021

 

Menyeru KPM Mengkaji dan Memperbaiki Persediaan Yang Tidak Teliti Dalam Pembukaan Semula Sekolah

 

Dong Jiao Zong berpendapat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kekurangan perancangan dan persiapan yang baik dalam proses pembukaan semula sekolah pada 1 September dan meminta KPM menyemak dan memperbaikinya secepat mungkin.

Menteri Kanan Pendidikan pernah mengumumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka mulai 1 September ini pada pertengahan bulan Julai tahun ini. Memandangkan tarikh pembukaan sekolah semakin hampir, maka para guru dan ibu bapa pelajar berharap mendapat penerangan yang terperinci daripada KPM. Keadaan pandemik semakin serius dan peningkatan  kes baharu jangkitan Covid-19, namun masih tidak ada pegawai KPM memberi penerangan mengenai langkah-langkah dan perancangan yang dilakukan untuk pembukaan semula sekolah.

Sejak Menteri Kanan Pendidikan membuat pengumuman mengenai pembukaan semula sekolah, wujudnya banyak keraguan di kalangan masyarakat kita. Namun, KPM tidak mengambil inisiatif proaktif mengumumkan apa-apa rancangan atau langkah-langkah yang diambil kepada rakyat memahami bagaimana KPM dapat membantu anggota barisan hadapan pendidikan membuat persediaan menyeluruh untuk pembukaan semula sekolah secara selamat. Sebaliknya, KPM hanya meminta pegawai-pegawai setiap negeri menjalankan tinjauan rambang terhadap segelintir ibu bapa pelajar darjah enam, tingkatan tiga, tingkatan lima dan tingkatan enam di seluruh negara pada beberapa hari yang lalu untuk mengumpul pendapat mereka terhadap pembukaan semula sekolah pada bulan September. Ini jelas menunjukkan sejak pengumuman pembukaan semula sekolah pada bulan Julai, KPM tidak mengambil inisiatif proaktif untuk memulakan kerja-kerja lanjutan, tidak berkomunikasi dengan pihak-pihak yang berkaitan secara aktif atau tidak mendapatkan pandangan daripada wakil-wakil pertubuhan pendidikan untuk menyediakan satu formula pembukaan semula sekolah yang dapat menjamin keselamatan guru dan pelajar serta kelancaran pengajaran dan pembelajaran.

Sebenarnya, ini bukan pertama kalinya KPM lembap bertindak dan kekurangan daya pelaksanaan pendidikan di bawah pandemik Covid-19. Umpamanya, kerajaan berjanji mengedarkan 150 ribu buah komputer riba secara percuma kepada para pelajar keluarga B40 pada tahun lepas, tetapi dikritik orang ramai kerana proses pengagihan yang amat lambat. Di samping itu, ramai pakar pendidikan  memberi amaran tentang “lost generation” atau generasi hilang dalam kalangan murid yang keciciran pelajaran. Tempoh penutupan sekolah yang berpanjangan akan membawa kesan buruk terhadap kemajuan dan keberkesanan pembelajaran pelajar, terutamanya mereka yang datang dari keluarga berkedudukan sosio-ekonomi yang rendah. Kumpulan ini perlu diberi sumber dan bantuan pelajaran yang lebih banyak. Selain itu, adalah tidak baik untuk kesihatan fizikal dan mental para pelajar kerana telah lama berada di rumah dan kurang menyertai aktiviti-aktiviti sosial, rekreasi dan sukan. Namun, kita belum melihat KPM mengambil langkah-langkah pemulihan yang proaktif untuk menangani masalah ini.

Kami berpendapat KPM perlu mengubah sikap pasif dan subjektif dalam soal membuat keputusan. Dalam proses membuat keputusan dan merangka formula pembukaan semula sekolah, KPM perlu bertindak secara proaktif untuk berunding dengan masyarakat terlebih dahulu, mendengar dan menerima pandangan pelbagai pihak serta memberi penerangan yang jelas dan terperinci kepada masyarakat mengenai dasar dan langkah-langkah pelaksanaan pembukaan semula sekolah.

Kegagalan menangani pandemik Covid-19, kemelesetan ekonomi, penangguhan Parlimen dan ketidakstabilan politik menjadikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak berfungsi. Parti-parti pemerintah dan pembangkang hanya giat dalam perebutan kuasa dan kekurangan rancangan tadbir urus negara. Akibatnya, rakyat hidup dalam kesusahan dan sektor pendidikan menjadi mangsa. Kami menyeru para pegawai kanan KPM menjalankan tanggungjawab mereka dan menunjukkan daya kepimpinan dalam pengurusan krisis, dan bukannya bersikap sambil lewa dan membuat keputusan yang tidak teliti.